Emission from my single mind.. about my desires, my feelings, my perceptions, my expression and so on.. ~Pengalaman jadi Pengajaran~
Saturday, 28 July 2012
Kehidupan dan Kita
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sesaat berlalu pergi, seminit meninggalkan kita, sejam lupakan kita.
Setiap pemergian mereka melakar sejarah kehidupan kita.
Kehidupan dan masa saling berkaitan. Hakikatnya masa itu kehidupan.
Terdapatnya masa kita didunia dengan kehidupan.
Apabila tamatnya kehidupan kita, maka tiadalah masa lagi untuk kita.
Dari detik ruh kita dihembuskan Allah kedalam rahim ibu kita hingga ke saat ini, kita telah lalui beberapa banyak fasa kehidupan.
Dari kehidupan kita belajar erti pengalaman, nikmat, dan sebagainya.
Namun pernahkah terdetik dari siri kehidupan kita, mengapa kita dihidupkan?
Pernahkah terfikir apa kita perlu buat semasa hidup didunia?
Pernahkah kita terlintas dari mana kita datang?
Kenapa kita hidup?
Kemana pula kita pergi setelah mati?
Pernah? mesti pernah kan? atau tidak?
Hakikatnya kita dihidupkan bertujuan.
Kita datang dari tempat yang satu.
Kita di sini mempunyai matlamat yang satu.
Dari mana kita datang?
“Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sabaik-baiknya.” ::Nuh71;17::
“Kemudian Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati(berasal) dari tanah” ::AlMu’minun23;12::
“..Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat” ::AsShaffat37;11::
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering(yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk" ;;AlHijr15;26::
“Dia mencipta manusia dari tanah kering seperti tembikar” ::ArRahman55;14::
“Dari bumi(tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan
kamu pada kali yang lain” ::Thaha20;55::
“..maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah..” ::AlHajj22;5::
"sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali" ::AlBaqarah2;156::
Sesuatu itu tidak akan wujud tanpa pencipta.
Sebuah kereta itu tidak akan muncul dengan sendirinya tanpa bahan-bahan mentah, tanpa sebuah kilang yang membuatnya dan tanpa
seseorang yang menciptanya.
Maka dari analogi tersebut kita boleh kaitkan dengan kehidupan kita.
Bahan-bahan mentah itu umpama tanah, kilang itu diumpamakan rahim ibu kita dan orang yang mencipta kereta itu umpama sebuah kuasa
yang mencipta dan merancang kejadian kita.
Maka berdasarkan ayat-ayat alQuran tersebut, terungkailah persoalan kita dari mana kita datang.
Ia bermula dengan kisah Allah mencipta Nabi Adam dari tanah, kemudian kejadian Hawa dari rusuk kiri Adam yang paling bengkok.
Dan kemudian bermula kisah didunia pabila mereka diturunkan ke bumi oleh Allah swt.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Namun timbul pula persoalan, kenapa Adam dan Hawa diturunkan?
Maka disini ia berkaitan dengan teori 'Cause and Effect'. Apa kaitannya?
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." ::AlBaqarah2;30::
Berdasarkan ayat 30 surah alBaqarah tersebut, terjawablah persoalan kita mengapa Adam dan Hawa diturunkan ke bumi Allah.
Kisah buah larangan adalah pengajaran pertama pada kita bahawa melanggar perintah Allah menyebabkan kita di'denda' dengan 'azab Allah.
Menjadi Khalifah(penganti) Allah bukan bererti kita mengambil kerja-kerja Allah, tetapi kita mentakbir dunia seiring dengan apa yang Allah
mahukan iaitu dengan Islam.
"Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah Aku" ::AzZariat51;56::
Dalam tujuan kita mentadbir dunia dengan Islam, kita dijadikan dengan satu tujuan.
Apa pula makna menyembah? Dalam erti kata lain mengabdikan diri atau menyerah diri.
*Saya bukanlah pakar dalam bidang ini, namun saya mahu berkongsi kefahaman saya*
Apa yang saya faham disini, kita dijadikan untuk beribadah sepenuhnya setiap masa pada Allah swt.
Ingat, ibadah bukan ibadah khusus sahaja. Islam bukan sekadar agama tetapi ia adalah Deen(cara hidup).
Islam itu syumul(sempurna). Semua perbuatan kita dari tidur hingga tidur semula ada dalam Islam.
Jadi maksudnya disini kita diturunkan untuk beribadah dari kita bangun tidur hinggan tidur semula. Tidur itu juga adalah ibadah.
Bagaimana? untuk beribadah kita perlukan Ilmu. Adakah kita telah punyai Ilmu tersebut?
Dari situlah kita perlu rajin bertanya dan belajar. Belajar ilmu Agama Islam adalah Fardhu Ain bagi setiap Muslim ingat tu.
Belajar dan bertanya pula biarlah pada orang yang betul kerana ramai orang pada masa kini kelihatan berilmu tetapi hakikatnya dia sesat lagi
menyesatkan.
Jangan tanya dan berguru pada seorang sahaja, tetapi tanyalah pada ramai murabbi supaya kita mendapat kesahihan.
Kata-kata dari banyak kepala lebih dipercayai jawapannya bukan begitu?
Banyak lagi yang ingin saya rungkaikan namun rasanya ia sedikit lari dari tajuk kali ini.
Dalam beribadah, kita perlu faham sefaham-fahamnya maksud ibadah itu sendiri.
Ibadah bukan sahaja dimasjid, berbuat baik, dan sebagainya, namun kita harus faham bahawa meninggalkan maksiat dan dosa itu sendiri
adalah ibadah.
Apa guna dalam mengejar pahala kita melakukan dosa. Saya umpamakan kita berlari di tengah panas sambil minum air.
Dalam nak menghilangkan dahaga, kita lakukan perkara yang membuat kita dahaga. Apa guna betul tak?
Dalam sibuk mencari pahala kita lakukan perkara yang menghakis pahala itu sendiri. Ianya sia-sia.
Ibadah perlulah sempurna barulah diterima Allah dan mencapai apa yang Allah mahukan.
Sekali lagi jika hendak ibadah yang sempurna, kita perlukan ilmu dan amalkannya.
Tetapi ingat, Imam Syafie ada mengatakan:
"Ilmu itu adalah cahaya dan cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat"
Jadi perkara pertama yang perlu dilakukan adalah tinggalkan maksiat. Tinggalkan segala yang dilarang Allah. Tinggalkan segala yang
mendatangkan dosa.
Barulah hidup ini berkat betul? ;)
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dan yang terakhir, kemana kita akan pergi setelah mati?
Sentiasa beringatlah bahawa kehidupan kita bukan setakat disini(dunia) sahaja.
Dengan segala tujuan kita hidup dan diturunkan, mana mungkin mati sebagai penutup.
Kita wajib beriman dengan kehidupan sesudah mati.
“Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam tanah dan mengeluarkan kamu(daripadanya pada hari kiamat) dengan sebenar-benarnya”
::Nuh71;18::
Seperti yang semua anda ketahui, setelah matinya seorang Muslim, dia akan dikebumikan di dalam tanah.
Di situlah bermulanya alam kubur, alam barzakh.
Setelah lengkapnya perjalanan dari rahim seorang ibu, lahir didunia dan kemudian di alam barzakh sebelum ke padang Masyar penentu ke
Syurga atau Neraka.
Di alam kuburlah bermula kehidupan yang sebenarnya.
Kehidupan yang ditentukan berdasarkan amalan dan bekalan yang kita sediakan semasa hidup di dunia ini.
Di sana kita akan berdepan dengan fitnah (ujian) yang dahsyat.
Berdepan dengan soalan dua malaikat yang ditugaskan.
Tiada siapa yang mampu menolong kita melainkan rahmat Allah s.w.t yang diperolehi dengan ketaatan dan pengabdian diri kepadaNya.
Alam kubur juga boleh menjadi salah satu taman-taman di Syurga Allah jika penghuninya dari kalangan orang2 yang soleh.
Namun ia juga boleh menjadi salah satu lubang-lubang Neraka jika dihuni oleh orang-orang yang zalim dan kafir na'uzubillah.
Saya bukan mahu bercarita panjang tentang kehidupan di alam kubur tetapi hanya sebagai peringatan pada kita semua.
Rasulullah saw ada bersabda mafhumnya:
"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati." ||Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya||
Setelah kita dibangkitkan, semua umat manusia dari zaman Nabi Adam as sehinggalah umat akhir zaman akan dikumpulkan di padang Masyar
dimana amalan kita akan diperhitungkan.
Segala perbuatan kita akan didedahkan. Tiada aib dan hijab ketika itu. Maka beruntunglah orang-orang yang beriman pada Allah swt. Yang
membenarkan segala kata-kata Rasulullah kerana pada hari kejadian tiada bantuan selain Rahmat Allah dan Syafaat Rasulullah.
Setelah amalan diperhitungkan maka bermulalah kehidupan kekal abadi kita sama ada di Syurga mahupun Neraka na'uzubillah.
Amat beruntunglah orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Celakalah orang-orang yang mendustakan.
Allahu'alam.
Akhir kata saya mohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan.
Segala yang lemah itu datang dari hambaNya yang dhoif ini dan yang benar semuanya dari Allah swt.
Setinggi-tinggi pujian pada Ilahi Yang Maha Mengetahui.
Semoga usaha kerdil ini diterima Allah.
Sesungguhnya Hidayah itu milik Allah Yang Maha Mengasihani.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Benar
San Shaf
Thanks for reading.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment